Madrasah Masjid Abdul Aleem Siddique
Madrasah Masjid Abdul Aleem Siddique lahir pada bulan Januari 1992. Ia hasil cetusan idea Allahyarham Haji Abdul Majid Abdul Hamid, Pengerusi LPM ketika itu. Dengan kerjasama Allahyarham Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri dan Cikgu Khairunan Ali dari MUIS, maka lahirlah madrasah ini dengan sokongan material yang disumbangkan oleh Haji Abdul Aziz Kajai dari Syarikat Muslim Casket.Madrasah ini menawarkan pendidikan ukhrawi dari peringkat tadika hingga ke peringkat menengah satu. Selain dari menduduki peperiksaan dalaman di hujung tahun, para pelajar juga menduduki peperiksaan umum PSLE (Common Exam) dari MUIS apabila masuk ke darjah enam. Matapelajaran-matapelajaran yang ditawarkan dari peringkat tadika hingga ke darjah enam ialah Bahasa Arab (Lughah), A’dad, Iqr’, Muqadam (hafalan surah), Akhlak, Tauhid, Fiqeh, Dianah, Sirah dan Jawi. Matapelajaran Hadith ditambahkan pada peringkat menengah satu.
Madrasah ini juga tidak ketinggalan untuk menerapkan kecanggihan teknologi komputer dalam penyampaian kurukiulumnya. Para pelajar berpeluang mengikuti kelas tambahan mempelajari Al-Qur’an, Muqadam, Bahasa Arab dan Jawi melalui penggunaan komputer.
Sejak penubuhannya, Madrasah Masjid Abdul Aleem Siddique menerima sambutan yang amat menggalakkan dari masyarakat sekeliling. Bukti yang paling ketara ialah dengan bertambahnya bilangan murid. Pada 1992, terdapat sekitar 200 orang murid. Jumlah ini berganda kepada sekitar 500 orang murid pada tahun 1995 dan kini terdapat lebih 800 orang murid. Kelas-kelas yang diadakan juga ditambah. Pada mulanya, madrasah ini hanya beroperasi dengan dua sesi pada hari Ahad sahaja. Sejak 1995, dengan bertambahnya bilangan murid-murid, madrasah ini telah beroperasi pada hari Sabtu dengan mengadakan tiga sesi.
Kerana sambutan yang menggalakkan, madrasah ini telah dapat membuka sebuah cawangan madrasah, usaha gabungan antara Masjid Abdul Aleem Siddique dengan Masjid Haji Mohd Salleh (Geylang Road). Seramai 150 pelajar mengikuti kelas madrasah setiap hari Ahad di Masjid Haji Mohd Salleh.
Madrasah Masjid Abdul Aleem Siddique menghulurkan khidmat lebih berkesan kepada masyarakat Islam setempat dan bersiap sedia untuk menyahut cabaran pendidikan madrasah separuh masa pada masa hadapan.